Sunday, October 12, 2008

Interaksi melahirkan keluarga harmoni dan bahagia





Kadangkala keadaan sebegini boleh melalaikan ibu bapa daripada menjalankan peranan, tugas dan tanggungjawab mereka.Ibu bapa haruslah menggunakan kebijaksanaan mereka mengurus masa dan jadual kerja supaya berpeluang untuk kerap bersama anak-anak.

Menurut panduan menguruskan anak-anak, buku Anak Belaian Kasihku terbitan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), ibu bapa perlu berusaha untuk menjadi seorang pendengar yang baik dengan memberi sepenuh perhatian kepada apa yang diperkatakan oleh anak-anak.Ibu bapa yang memberikan fokus mereka kepada anak-anak mereka akan dihargai sepenuhnya oleh anak-anak mereka kerana ibu bapa adalah pemangkin untuk mewujudkan interaksi yang menarik dalam hubungan yang mana menjamin kesejahteraan dan keharmonian sesebuah keluarga itu. Keadaan ini secara tidak langsungnya akan melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah yang mana sentiasa patuh dan menhormati akan obu baoa mereka.

Berikan perhatian kepada kandungan dan perasaan yang diluahkan oleh anak dan telitilah segala permasalahan anak dari segenap sudut sebelum membuat sesuatu keputusan atau tindakan.



Wujudkan kebolehpercayaan yang tinggi di kalangan anak-anak terhadap kebolehan dan keupayaan ibu bapa dalam menangani pelbagai isu dalam pengurusan rumahtangga. Ibu haruslah berusaha untuk berinteraksi dengan anak-anak melalui bahasa yang mudah difahami dan jelas maksud yang ingin disampaikan. Seboleh-bolehnya kurangkan penggunaan bahasa sindiran atau kiasan kerana pemahaman terhadap bahasa sedemikian amat terhad terutama ketika anak-anak dalam usia yang sangat muda. Cuba turunkan aras pemikiran ibu bapa ke tahap pemikiran anak berdasarkan umur anak-anak. Hormati hak dan tanggungjawab setiap anak sebagai individu serta hargai sumbangan mereka. Pertahankan rahsia anak terhadap perkara-perkara yang boleh menimbulkan perasaan malunya daripada diketahui oleh adik-beradik yang lain sebelum perkara tersebut dapat ditangani dengan baik. Kadangkala ibu bapa jadi bingung dengan perangai dan kerenah anak. Antaranya ada anak-anak tidak mahu mendengar apa yang hendak dicakapkan oleh ibu bapa.

Bagi menggalakkan anak mendengar atau meneliti apa yang anda cakapkan pastikan anda:

* Memberi pujian terhadap kelakuan yang positif dan pencapaian yang baik tetapi memarahi anak tentang perkara-perkara yang remeh.

* Menunjukkan reaksi mesra apabila bercakap dengan anak.

* Memberi penghargaan atau ganjaran apabila anak melakukan sesuatu yang baik.

* Membenarkan komunikasi secara bebas.

* Menggalakkan anak meluahkan isi hatinya kepada anda.

* Bercakap dengan jelas dan mudah difahami oleh anak-anak, elakkan membebel atau berkhutbah.

Setiap anak memerlukan bimbingan daripada orang yang lebih dewasa untuk membantu mereka memahami dunia dan persekitarannya.

Ibu bapa adalah individu yang terbaik bagi setiap anak-anak untuk memperoleh maklumat yang tepat dan berkesan. Masa yang berkualiti dan berapa banyak yang diluangkan bersama ibu bapa memudahkan anak-anak untuk memahami dunia dan persekitaran mereka.

Cara bertindak anak-anak lebih banyak dipengaruhi oleh perlakuan dan tindakan ibu bapa mereka, maka fikirkanlah akan kesan dan akibat sebelum melakukan sesuatu tindakan setiap kali bersama anak-anak. Tanpa bimbingan dan pengawasan yang sempurna daripada ibu bapa boleh mendedahkan anak kepada pelbagai gejala yang kurang sihat, maka luangkanlah masa untuk membimbing mereka sendiri.

Anak-anak adalah pewaris generasi masa kini, maka setiap aktiviti yang kita lakukan bersama akan menjadi ikutan mereka apabila dewasa kelak.

Ibu bapa harus merancang aktiviti bersama-sama keluarga di dalam dan di luar rumah dari masa ke semasa, sama ada melibatkan keluarga terdekat mahupun jiran tetangga dan rakan taulan. Aktiviti bersama keluarga seperti ini mampu meningkatkan kemesraan dan menggalakkan kebolehan interpersonel serta membentuk keyakinan diri anak-anak selain menjalinkan silaturahim di kalangan mereka yang terlibat.

Aktiviti bercuti, bersiar-siar dan beriadah bersama keluarga dapat mempereratkan hubungan dan kemesraan sesama ahli keluarga serta mempertingkatkan pengetahuan, kefahaman dan kemesraan anak-anak mengenai perkara yang dilihat, ditempuhi dan dialami. Sebagai penerus generasi masa kini, anak-anak perlu mengetahui asal usul mereka, agar mereka berasa bangga dengan keturunan mereka.

Salasilah keluarga memberi gambaran yang jelas mengenai tali perhubungan atau persaudaraan keluarga. Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa memupuk dan membelai hubungan kedua belah pihak ibu dan bapa. Bimbinglah anak-anak untuk mengenali sanak-saudara. Jadikan aktiviti berkunjung ke rumah sanak saudara sebagai sebahagian daripada aktiviti keluarga. Beri tunjuk ajar yang betul mengenai amalan dan peraturan pergaulan berdasarkan budaya keluarga serta berlandaskan ajaran agama.

Amalkan sikap hormat menghormati antara satu sama lain dan orang yang lebih dewasa.

Kehidupan berkeluarga penuh dengan cabaran. Ibu bapa harus menerima hakikat bahawa tekanan wujud dalam hidup berkeluarga. Sebenarnya situasi yang menjadi penyebabnya boleh dielakkan .Ibu bapa harus melihat tekanan sebagai satu cabaran mengawal emosi. Setiap keluarga mempunyai peranan, tugas dan tanggungjawab yang berbagai-bagai.

Manusia sifatnya suka membantu termasuk anak-anak kecil. Bebanan kerja menguruskan rumah tangga dapat dikurangkan dengan bantuan anak-anak. Pengagihan kerja kepada ahli keluarga mengurangkan tekanan di samping mewujudkan sikap berkerjasama dan menjalinkan kemesraan sesama ahli keluarga.

No comments: